Thursday, November 6, 2014

Jalan Apa Sesudah Pemilihan PBM?


Pemilihan bagi Parlimen Belia Malaysia (PBM) telah berakhir seminggu yang lalu. Keputusan telah diperoleh, dan mereka yang terpilih bakal menduduki sesi pra-persidangan PBM tidak lama lagi. Bagi mereka yang telah memenangi tempat di PBM, cara sumbangan mereka adalah jelas - iaitu sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia. Namun bagaimana pula mereka yang kalah?

Adat pertandingan menang dan kalah, tidak ada sesiapa yang inginkan kekalahan tetapi kekalahan tidak semestinya membawa makna kegagalan. Kegagalan pun tidak semestinya akan gagal selama-lamanya. Berapa ramai pereka cipta terkenal seperti Wright Brothers, Alexender Graham Bell, dan sebagainya yang berjaya pada kali pertama? Sudah pasti ada siri-siri kegagalan yang banyak sebelum kejayaan mereka, dan sebelum mereka terkenal dan rekacipta masing-masing.

Persoalannya, apakah masa hadapan saya setelah gagal merebut kerusi PBM?

Cita-citaku untuk negara tercinta ini tidak lain dari melihat Malaysia menjadi sebuah Negara Rahmah, yang disebutkan oleh Allah; "Dan tidaklah aku utuskan dikau (wahai Muhammad!) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" (al-Anbiya', 21:107), dan juga ayat, "...sebuah negara baik (lagi harmoni), dan diampunkan Tuhan" (Saba', 34:15).

Namun, terlalu banyak usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai cita-cita ini. Kerana cita-cita ini tinggi dan mulia. Cita-cita ini merupakan hasil manifestasi yang Allah ceritakan kepada kita seandainya perjuangan yang dilakukan berjaya - menurut jalan yang telah ditentukan. Adakah ada cita-cita yang lebih tinggi dari cita-cita yang telah ditetapkan Tuhan?

Jalan yang panjang ini juga memerlukan nafas yang panjang. Nafas yang panjang tidak mungkin diperoleh tanpa kekuatan dariNya. Kekuatan yang Allah berikan berupa - kefahaman yang jelas terhadap prinsip yang diperjuangkan, keikhlasan memperjuangkan prinsip-prinsip ini, suasana yang memelihara dan menyokong ke arah pelaksanaan prinsip-prinsip tersebut, dan amal yang berterusan yang bersungguh-sungguh yang tidak gentar suara-suara sumbang yang berada di picisan.

Saya yakin bahawa negara Malaysia dapat mencapai sebuah negara rahmah, dengan cara; pendidikan peribadi-peribadi yang murni dan pembentukan massa masyarakat dengan prinsip dan nilai-nilai Islam yang mulia. Saya meyakini bahawa untuk merealisasikan perkara ini, masyarakat Malaysia perlu dididik secara komprehensif. Bak kata sebuah pepatah arab, "Pendidikan bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan pendidikan".

Oleh itu, saya akan berterusan melibatkan diri dengan usaha membina peribadi-peribadi negarawan sekaligus membentuk masyarakat yang berprinsip, agar negara ini dapat menjadi sebuah negara yang dipenuhi dengan rahmat dan keampunan Allah.

'Ammar Taqiyuddin Ainullotfi
7 November 2014

No comments:

Post a Comment