Friday, September 26, 2014

Masa Depan Negara dengan Pendidikan


Alhamdulillah pada hari pagi ini, sekumpulan warga belia telah menganjurkan qiamullail di tempat tinggal saya. Saya dimaklumkan oleh mereka bahawa mereka telah bermula program bermula dari Maghrib dan akan selesai selepas terbitnya matahari. Diisi dengan ibadah-ibadah khusus dan juga pengisian-pengisian rohani.

Sebagai seorang warga penduduk aparment saya ini dan juga sebagai salah seorang warga belia, saya meyakini bahawa masa depan negara dapat menjadi lebih baik sekiranya para belia Malaysia masa kini dapat dibentuk dan dididik secara komprehensif. Pendidikan yang komprehensif tidak semestinya di dalam bentuk yang formal, tetapi yang lebih penting ia merangkumi keseluruhan aspek.

Sebuah pendidikan yang merangkumi aspek intelek, yang mengasah minda dan membina pemikiran. Tidak tertakluk kepada aliran yang ditentukan di dalam sesebuah sekolah sahaja, tetapi lebih cenderung untuk membangunkan potensi anak-anak muda kita.

Sebuah pendidikan yang merangkumi aspek emosi, dan membina mereka ke arah mempunyai sifat insaniah dan manusiawi yang asasi. Pendidikan yang dapat menjadikan seseorang manusia, khasnya belia agar menjadi seorang yang matang berfikir, bijak pergaulannya, dan mampu memberi jasa kepada masyarakat di sekitarnya. Membantu mereka masyarakat dengan kebaikan dan mengambil tanggungjawab bersama mencegah kejahatan.

Juga sebuah pendidikan yang aspek spiritual atau rohani, yang membentuk jiwa yang sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni. Jika seorang muslim, pendidikan tersebut membawa para belia kepada keimanan kepada Tuhan yang sentiasa menaungi dan melihatnya. Juga merasai dekatnya dengan Tuhan sehingga diri mereka menjadi seorang yang berakhlak dan beretika. Jika bukan seorang muslim, saya percaya setiap agama mengajarkan nilai-nilai murni kepada pengikutnya dan nilai-nilai inilah yang ingin ditempa di dalam jiwa.

Tanpa pendidikan yang holistik di dalam bidangnya dan pendekatannya, masyarakat masa depan akan menjadi sebuah masyarakat yang pandai tetapi tidak beretika, atau sosial tetapi tidak cerdik dan berprinsip, atau juga masyarakat yang maju tetapi kosong jiwanya dari prinsip kerohanian.

-'Ammar Taqiyuddin-
27 September 2014
@Kajang 43000

Nota: Gambar menunjukkan saya memberikan tazkirah kepada para belia yang telah menjemput saya sebagai salah seorang warga penduduk apartment.

#AmmarTQ4PBM
#BITARA
#ParlimenBeliaMalaysia
#ParlimenBelia
#PBM
#Selangor